Kepentingan Mempunyai Laman Web

Kepentingan Mempunyai Laman Web.

Laman web merupakan satu entiti yang penting dalam setiap bisnes dan perniagaan pada hari ini. Tidak kira sama ada anda membuka perniagaan berasaskan produk ataupun servis, laman web perlu sedia berfungsi bersama perniagaan anda. Ini kerana mengikut kajian, tanpa laman web, anda berkemungkinan akan hilang 50% daripada pelanggan berpotensi anda.

Secara umumnya, ia akan berfungsi sebagai pejabat atau kedai maya anda. Ia berfungsi 24/7 untuk anda tanpa mengira waktu dan tempat. Ia akan bekerja untuk anda.

Laman Web Sebagai Agen Pemasaran Berkesan.

Sebagai pengguna, melayari Internet adalah perkara pertama yang akan dilakukan sebelum anda membeli sesuatu produk atau menggunakan sesuatu perkhidmatan. Carian di Internet ini akan dapat memberikan gambaran awal kepada anda tentang latar belakang, kualiti dan jenis produk yang ingin anda beli. Di sinilah, web memainkan peranan sebagai agen pemasaran perniagaan anda. Ini kerana majoriti daripada pengguna tidak mahu lagi mengunjungi dari satu premis ke satu premis yang lain hanya semata-mata untuk membeli dan membandingkan harga sesuatu produk. Situasi ini juga akan memenatkan pengguna.

Justeru, di sinilah web yang terpapar di enjin carian seperti Google atau Bing akan menjadi rujukan utama pengguna. Malah, jika anda menawarkan pembelian secara atas talian dan penghantaran secara pos, ia dapat memudah dan menjimatkan lagi masa, tenaga dan wang pengguna.

Meluaskan Perniagaan.

Sama ada anda sedar ataupun tidak, web juga dapat meluaskan perniagaan anda. Perniagaan anda kini, bukan lagi tertakluk kepada lokasi geografi setempat tetapi ia merangkumi kawasan yang lebih luas. Jika anda berani dan mengadakan sistem transaksi edagang yang baik, perniagaan anda boleh menjangkaui luar negara. Anda tidak perlu mempunyai dan membuka premis perniagaan anda di setiap kawasan, negeri ataupun negara tersebut. Hanya satu laman web sahaja sudah cukup untuk melakukan urus niaga ke semua negara.

Pembinaan Jenama.

Tidak cukup dengan itu, web juga mampu membina jenama produk dan perniagaan anda. Ini kerana anda dapat meletakkan logo perniagaan anda di setiap foto yang anda pamerkan di dalam laman web anda. Dan setiap foto ini akan dapat diakses di enjin carian dengan mudah.

Malahan, jika anda mempunyai sistem rating untuk setiap produk yang anda jual, ia amat membantu melariskan lagi jualan produk tersebut. Ini kerana, sistem rating adalah salah satu cara untuk memberikan konfiden kepada pelanggan berpotensi yang melayari web anda.

Kesimpulan.

Justeru, jika anda mempunyai perniagaan sama ada produk atau perkhidmatan, mempunyai laman web sendiri amat penting untuk meluaskan lagi perniagaan anda.

2016-02-12T11:52:20+00:00